Translate

Sunday, July 2, 2017

Benteng rapuh, Terengganu hampir terima padah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KETIADAAN tonggak pertahanan, Lazaro Vinicius akibat pengantungan perlawanan hampir membawa padah kepada Terengganu pada aksi Liga Premier menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Tanpa pimpinan pemain import Brazil itu, benteng pertahanan skuad Penyu agak rapuh hingga bolos dua gol mudah dalam tempoh 10 minit pertama perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, barisan pertahanan skuad bimbingannya tanpa Lazaro beraksi kelam-kabut dan hilang formasi sehingga membolehkan pemain JDT II mengambil kesempatan meledak dua gol awal pada sebahagian  aksi separuh masa pertama.

“Persefahaman permainan hilang akibat kurang komunikasi dalam kalangan pemain pada babak pertama. Mujur mereka cepat sedar dan telah mengubahnya pada separuh masa kedua.

“Jaringan berjaya disamakan 2-2 bagi membolehkan kita berkongsi satu mata. Kita sebenarnya berpeluang untuk memenangi perlawanan jika Tchetche Kipre berjaya memanfaatkan beberapa peluang terhidang,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad selepas perlawanan.

Irfan berkata, kemasukan J. Partiban pada minit ke-35 bagi menggantikan Muhd. Ferris Danial Mat Nasir yang gagal berfungsi dengan baik sebagai penyerang turut memainkan peranan penting melicinkan kembali serangan pasukannya.

Bekas pengendali Felda United itu berkata, Partiban beraksi cemerlang menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-50 selain memberi sumbangan signifikan membantu Kipre, Mohd. Faiz Mohd. Nasir dan Gabriel Davis Dos Santos menggempur kubu JDT II.

“Penyerang import baharu kami, Kipre juga telah beraksi cemerlang. Dia telah memainkan peranan penting dalam kedua-dua gol yang kami jaringkan malam ini (kelmarin).

“Kipre juga telah mencipta beberapa gerakan menarik yang hampir menghasilkan gol. Walaupun masih buntu (gol), saya yakin masanya akan tiba tidak lama lagi,” katanya.

Terdahulu, skuad JDT II yang kembali diterajui Benjamin Mora mendahului 2-0 menerusi jaringan Alaxender Moreton Smith dan Muhd. Syazwan Andik Mohd. Ishak pada minit kelima dan ke-10.

Begitupun kegembiraan JDT II tidak kekal lama selepas Terengganu kembali bangkit menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Faiz dan Partiban masing-masing pada minit ke-46 dan ke-50.

No comments:

Post a Comment