Translate

Friday, July 14, 2017

Terengganu di landasan tepat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Terengganu kembali ke landasan untuk menduduki semula posisi teratas Liga Premier selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0 pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, tiga mata yang diraih pada pertemuan tersebut membolehkan skuad kendaliannya yang kini berada di tangga keempat berkongsi 31 mata dengan PKNP FC.

“Kita juga ha­nya ketinggalan satu mata dengan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan yang masing-masing berada di dua posisi teratas liga dengan kutipan 32 mata.

“Tanpa menghiraukan prestasi pasukan-pasukan pesaing berkenaan, saya mahu para pemain saya meneruskan momentum kemenangan ini termasuk pertemuan dengan Perlis pada Jumaat ini,” kata Irfan ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Skuad Penyu menumbangkan ATM yang kini berada di tangga tercorot liga menerusi jaringan kapten pasukan, Lazaro Alves dan pemain tengah import,  Gabriel Davis Dos Santos masing-masing pada minit ke-38 dan ke-90.

Lebih manis, jaringan menerusi sepakan percuma pada masa kece­deraan tersebut merupakan jaringan sulung Santos yang berasal dari Brazil sejak dia menyertai Terengganu pada jendela perpindahan pemain kedua bulan lalu.

Begitupun Irfan memberitahu, beliau agak bimbang selepas melihat beberapa pemain sudah mula menunjukkan sindrom keletihan terutama pada babak kedua.

Bekas pengendali Felda United itu berkata, bermain empat perlawanan kompetitif dalam tempoh 10 hari sejak akhir bulan lalu sememangnya amat memenatkan anak-anak buahnya.

“Beberapa pemain saya telah menunjukkan keletihan terutama pada separuh masa kedua.

“Kita cuba melakukan penggiliran pemain untuk mengurangkan impak negatif kepada pasukan. Pada malam ini (kelmarin) pun, saya sudah me­lakukan penggiliran pemain dengan menurunkan Abdul Shukur Jusoh, Adib Aizuddin Abd. Latif dan Mohd. Ridzuan Abdunloh,” katanya.

No comments:

Post a Comment