Translate

Saturday, July 22, 2017

T-Team tempang hadapi JDT

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

T-TEAM yang dikejutkan dengan kekalahan 1-5 kepada Felda United pada saingan Liga Super minggu lalu, kini berada dalam keadaan tempang.

Situasi tersebut ternyata meresahkan pengendalinya, Rahmad Darmawan yang sedang mempersiapkan pasukan bagi menghadapi pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Menurut Rahmad, berkemungkinan besar skuad kendaliannya akan melayan JDT tanpa khidmat tiga tonggak import mereka iaitu Abdoulaye Maiga dan Joseph Yannick yang masih belum pulih daripada kecederaan serta sedang menjalani penggantungan perlawanan.

“Sebelum ini, kita sudah kehilangan Mamadou Samassa (penyerang utama) akibat kecederaan ligamen kaki sehingga akhir musim ini.

“Ketiadaan ketiga-tiga tonggak import itu telah memaksa saya untuk memaksimumkan potensi pemain tempatan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan tiga pemain berkenaan pada aksi menentang JDT malam esok (ini),” kata Rahmad ketika ditemui di Kuala Terengganu semalam.

Rahmad berkata, berdasarkan situasi semasa, beliau bakal mengubah formasi skuad kendaliannya dan diharap dapat membuahkan hasil memuaskan pada aksi malam ini.

Begitu pun, pengendali berpengalaman dari Indonesia itu menegaskan, kepinca­ngan itu tidak bermaksud T-Team akan memberi laluan mudah kepada JDT yang kini terlalu ampuh di persada Liga Super.

“Saya percaya dengan kemampuan anak-anak buah saya dan yakin mereka bukan sahaja tidak gentar dengan reputasi hebat JDT, malah akan bermain dengan semangat juang yang tinggi.

“Beraksi di laman sendiri di hadapan penyokong tegar juga pasti memberi motivasi tambahan kepada pemain-pemain saya untuk mencipta kejutan,” katanya.

Rahmad berkata, beliau juga yakin anak-anak buahnya akan memberi kesukaran kepada JDT pada aksi di gelanggang keramat mereka itu seperti yang telah dilakukan ke atas Kedah, Perak, Selangor dan Pahang sebelum ini.

No comments:

Post a Comment