Translate

Sunday, July 9, 2017

Pemuda maut ditetak gara-gara salah faham kes bakar motosikal

BESUT - Hanya kerana salah faham, seorang pemuda maut akibat ditetak oleh sekumpulan lelaki yang dipercayai bersenjatakan pedang di Pengkalan Nyireh, Kampung Raja dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 5.15 petang itu, Nik Mohd. Shahrul Anuar Nik Der, 21, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan akibat ditetak beberapa kali oleh kumpulan penyerang terbabit.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa menemani abangnya yang berusia 23 tahun bersama seorang kenalan lain ke rumah suspek untuk memberi penjelasan selepas dituduh membakar motosikal milik keluarga lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superitendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sebaik tiba ke rumah tersebut dengan menaiki kereta Perodua Myvi, suspek dan kira-kira 10 lelaki lain yang dipercayai bersenjatakan pedang telah mengejar mereka.

"Sewaktu melarikan diri tersebut, mangsa tiba-tiba terjatuh sebelum ditetak bertalu-talu oleh kumpulan penyerang terbabit. Dia dikatakan sempat meminta abangnya dan kenalannya itu terus lari untuk menyelamatkan diri.

"Abang mangsa kemudiannya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Besut di sini tidak lama kemudian," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kata Mohd. Zamri, sebaik menerima laporan, anggota polis bergegas ke lokasi kejadian yang merupakan kawasan semak berhampiran tapak Pasar Tani Pengkalan Nyireh di sini.
"Sebaik tiba, anggota polis bertugas menemui satu mayat penuh dengan luka  yang kemudiannya dikenalpasti sebagai Nik Mohd. Shahrul Anuar. Mayat lelaki itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk dibedah siasat," katanya.

Mohd. Zamri berkata, suspek utama yang merupakan seorang pemuda berusia 21 tahun juga telah ditahan selepas membuat laporan polis kononnya diserang beberapa lelaki di Balai Polis Kampung Raja dekat sini beberapa jam selepas kejadian.

Beliau berkata, empat lelaki lain berusia dalam lingkungan 20-an yang dipercayai terlibat dalam serangan itu turut berjaya ditahan.

No comments:

Post a Comment