Translate

Monday, July 17, 2017

59 PATI ditangkap di tiga negeri kerana tiada dokumen sah

DUNGUN – Jabatan Imigresen Terengganu menahan 20 warga asing dipercayai pendatang ­asing tanpa izin (PATI) dalam dua serbuan berasingan menerusi Ops Ikrar di daerah ini semalam.

Timbalan Pengarah Imigresen Terengganu, Azlinawati Mohd. Zulbi berkata, kesemua suspek yang berusia 18 hingga 48 tahun ditahan pasukan penguat kuasa agensi itu setelah mereka gagal mengemukakan dokumen pe­ngenalan diri dan permit kerja yang sah.

“Dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan di bandar ini, seramai 61 warga asing yang terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh dan Indonesia telah diperiksa.

“Seramai 18 orang daripada mereka telah ditahan kerana disyaki PATI kerana gagal mengemukakan dokumen pe­ngenalan diri yang sah termasuk Enforcement Card (E-Kad),” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Azlinawati berkata, pemeriksaan kedua di sebuah rumah kongsi tidak jauh dari lokasi serbuan pertama pula menemui dua lelaki warga Indonesia yang turut ditahan kerana gagal me­nunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

Sementara itu di Kota Bharu, Jabatan Imigresen Kelantan menahan seramai 18 PATI berusia 19 hingga 46 tahun dalam Ops Ikrar di empat buah lokasi ber­asingan di sekitar bandar ini.

Pengarah Imigresen Kelantan, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 11 PATI ditangkap di pusat mencuci kenderaan dan empat lagi ditahan di premis perniagaan besi buruk di Kampung Manal, Tanah Merah.

Katanya, dua orang ditahan di kedai runcit di Jalan Lama Machang dan seorang wanita Indonesia turut ditangkap sebuah rumah di sebuah rumah di Kampung Tal Tujoh, Pasir Mas.

Di Seremban, Negeri Sembilan, seramai 21 PATI termasuk sembilan wanita diberkas menerusi Ops Ikrar kelmarin di beberapa premis perniagaan dan penempatan buruh binaan. 

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Rahim Hanaffi berkata, operasi pada pukul 1 petang itu telah memeriksa 139 warga asing di Seremban, Rembau dan Nilai.

“PATI yang ditahan terdiri daripada warga India, Indonesia, Pakistan dan Bangladesh berusia antara 20 hingga 58 tahun,” katanya.

No comments:

Post a Comment