Translate

Saturday, July 29, 2017

Kehadiran pelancong ke Tasik Kenyir meningkat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Tasik Kenyir yang merupakan tasik buatan terbesar di negara ini semakin menunjukkan peningkatan kedatangan pelancong dengan kehadiran 269,512 orang dalam enam bulan pertama tahun ini.
Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Omar Ismail berkata, statistik memberangsangkan tersebut merupakan peningkatan 8.32 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
"Ketengah menyasarkan kehadiran 750,000 pelancong dalam dan luar negara mengunjungi Tasik Kenyir menjelang akhir tahun ini. Ia peningkatan 50 peratus berbanding 500,000 pengunjung pada tahun 2016.
"Bagi menyemarakkan lagi potensi Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan yang mesti dikunjungi, Ketengah telah merancang untuk menganjurkan sekurang-kurangnya lima aktiviti dari bulan Ogos hingga Disember depan," katanya pada penutup program 'Kenali Kenyir' di Pengkalan Gawi dekat sini hari ini.
Omar berkata, acara tersebut ialah Kembara Kenyir yang akan dianjurkan pada 25 Ogos hingga 27 Ogos depan, Festival Kenyir (14 Sepetember hingga 17 September), Triathlon Antarabangsa Tasik Kenyir (29 Oktober), pertandingan Memancing Monsun ASEAN (30 November - 3 Disember) dan pertandingan Memancing Santai Tasik Kenyir (30 Disember). - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment