Translate

Saturday, July 15, 2017

T-Team kembali mengganas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PASUKAN berstatus kelab, T-Team akhirnya berjaya menamatkan kemarau kemenangan selepas menumbangkan Kelantan 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan berkata, beliau me­ngakui moral anak-anak buahnya agak merosot selepas gagal mencatat sebarang kemenangan selepas kali terakhir melakukannya sewaktu menumpaskan Perak 3-0 di laman sendiri 6 Mei lalu.

“Selepas mengalami kekalahan serta mencatat keputusan seri pada aksi-aksi Liga Super dan Piala Malaysia sebelum ini, sedikit sebanyak telah meruntuhkan moral para pemain.

“Dalam setiap perlawanan sebelum ini, kami telah menguasai perlawanan tetapi buntu untuk melakukan tindakan penyudah,” kata Rahmad ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Rahmad berkata, beliau berharap kemenangan ke atas Kelantan akan terus melonjakkan semangat para pemain agar momentum kemenangan berterusan.

Mengulas aksi malam kelmarin, pengendali berpengalaman dari Indonesia itu mengakui bahawa beliau pada mulanya agak ragu dengan kegagalan anak-anak buahnya memanfaatkan banyak peluang yang mereka peroleh pada separuh masa pertama.

“Saya lihat moral mereka semakin merosot selepas penyerang utama kami, Mahamadou Samassa terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-17.

“Gol pendahuluan Kelantan pada minit ke-63 terus merentap semangat anak-anak buah saya sehingga menyaksikan mereka agak hilang fokus, namun mereka berjaya mengawal keadaan dan seterusnya mencatat kemena­ngan,” ujarnya.

Melihat keadaan itu, Rahmad memberitahu beliau bertindak segera membuat penggantian di barisan tengah bagi memboleh­kan pemain import mereka, Dilshod Sharofetdinov bergerak ke hadapan dan fokus membantu barisan serangan.

Menurut beliau, percaturannya membuahkan hasil apabila Sharofetdinov berjaya meledak gol pe­nyamaan pada minit ke-79.

“Gol itu mengembalikan sema­ngat anak-anak buah saya sehingga mampu menjaringkan dua gol lagi menerusi Mamu (Muhammad Fauzi Abdul Kadar) dan Joseph Yannick,” katanya.

T-Team kini menghuni tangga ketujuh liga selepas mengumpul 19 mata.

No comments:

Post a Comment