Translate

Monday, July 31, 2017

Gandakan pelawat ke Tasik Kenyir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Sebanyak lima program menarik telah dirancang Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dalam usaha menggandakan lagi kedatangan pengunjung ke Tasik Kenyir.

Antara acara yang dirancang ialah Kembara Kenyir yang akan dianjurkan pada 25 Ogos-27 Ogos depan, Festival Kenyir (14 September hingga 17 September), Triathlon Antarabangsa Tasik Kenyir (29 Oktober), pertandingan Memancing Monsun ASEAN (30 November-3 Disember) dan pertandingan Memancing Santai Tasik Kenyir (30 Disember).

Pengurus Besar Ketengah, Omar Ismail berkata, sehingga Jun lalu seramai 269,512 pengunjung telah direkodkan berkunjung ke tasik buatan terbesar di negara ini sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
Menurut beliau, angka tersebut merupakan peningkatan kira-kira 8.32 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Sehubungan itu Ketengah menyasarkan kehadiran 750,000 pelancong dalam dan luar negara mengunjungi Tasik Kenyir menjelang akhir tahun ini iaitu peningkatan 50 peratus berbanding 500,000 pengunjung pada tahun 2016.

“Bagi menyemarakkan lagi potensi Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan yang mesti dikunjungi, kita telah merancang untuk menganjurkan sekurang-kurangnya lima aktiviti dari bulan Ogos hingga Disember depan,” katanya pada penutup program Kenali Kenyir di Pengkalan Gawi dekat sini semalam.

Menurut Omar, Ketengah juga menjangkakan pembukaan Zon Bebas Cukai Pulau Kenyir Fasa Satu di Pengkalan Gawi pada masa terdekat bakal meningkatkan lagi kehadiran pengunjung ke Tasik Kenyir.

“Taman Tema Air Kenyir yang kini ditutup sementara bagi tujuan penambahbaikan juga dijangka dibuka semula kepada pengunjung dalam tempoh dua bulan lagi,” katanya.

Tasik Kenyir seluas 209,199 hektar merangkumi 340 pulau dan 14 air terjun bukan sahaja terkenal dalam kalangan kaki pancing, malah diminati pencinta alam semula jadi kerana mempunyai beberapa produk tarikan seperti Gua Bewah dan Gua Taat yang merupakan penempatan manusia prasejarah serta santuari Kelah.

Tasik buatan manusia yang dibina pada tahun 1988 itu dikawal selia oleh Ketengah dan ketika ini terdapat 74 pengusaha rumah bot beroperasi di sini.

No comments:

Post a Comment