Translate

Friday, July 28, 2017

Terengganu mahu kekal terajui Liga Premier

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SAINGAN Liga Premier semakin hampir kemuncak­nya dengan pertembu­ngan Terengganu dan Negeri Sembilan yang kini menghuni dua kedudukan teratas di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, skuad kendaliannya tiada pilihan selain memenangi aksi penting tersebut di hadapan penyokong sendiri.

“Pertemuan menentang Negeri Sembilan esok (malam ini) pasti sengit kerana kedua-dua pasukan amat memerlukan kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan dalam liga.

“Apa pun, saya percaya para pemain berada pada tahap moral tertinggi selepas menewaskan Kuala Lumpur sekali gus merampas takhta liga baru-baru ini,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Sehubungan itu, Irfan menuntut anak-anak buahnya meneruskan aksi berdisiplin seperti yang dipamerkan sewaktu me­numbangkan Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Bekas pengendali Felda United itu berkata, skuad kendaliannya tidak boleh menoleh ke belakang lagi bagi memburu tiket ke Liga Super musim depan.

“Saya berharap penyokong tegar Terengganu dapat beramai-ramai memenuhi stadium untuk menyemarakkan lagi semangat pemain,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Irfan memberitahu, beliau akan menurunkan barisan pemain terkuat kecuali penyerang import, Issey Farran Nakajima yang mengalami kecederaan.

No comments:

Post a Comment