Translate

Thursday, May 28, 2026

Petronas mulakan siasatan, sedia beri kerjasama penuh

 KUALA TERENGGANU – Firma minyak dan gas nasional, Petronas akan melakukan siasatan berhubung insiden dalam latihan pemindahan kecemasan yang mengorbankan tiga pekerja pelantar minyak di fasiliti Kapal Penyimpanan dan Pemunggahan Terapung (FSO) Sepat terletak di perairan Terengganu kelmarin. 

Jurucakap Bahagian Komunikasi Strategik dan Perhubungan Petronas berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh dengan agensi terlibat berhubung kemalangan yang turut menyebabkan seorang lagi pekerja pelantar minyak cedera parah. 

“Petronas mengucapkan takziah kepada ahli keluarga dan sahabat handai mangsa terlibat. “Tindakan segera memberi sokongan terhadap ahli keluarga terjejas menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam. 

FSO Sepat kendalian Petronas Carigali Sdn. Bhd. terletak di Medan Sepat, kira-kira 130 kilometer dari timur Kuala Terengganu. 

Terdahulu, jurucakap Bahagian Komunikasi Strategik dan Perhubungan Petronas mengesahkan insiden tersebut berlaku di FSO Sepat pada pukul 12.50 tengah hari, kelmarin. 

Tiga pekerja pelantar minyak iaitu Ahmad Fiqri Zakaria, 38, Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab. Majid, 38, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini pada pukul 5.57 petang. 

Seorang lagi mangsa iaitu Mohd. Taufik Mohd. Ruslan, 37, pula yang mengalami cedera parah sedang menerima rawatan di unit kecemasan hospital sama.

 Insiden berlaku apabila bot yang dinaiki empat mangsa tersebut terjatuh pada ketinggian kirakira 20 meter dipercayai akibat tali penyangkutnya terlucut.

No comments:

Post a Comment