Translate

Thursday, April 15, 2010

Pinggan pecah petanda ajal


Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BATU GAJAH – Pinggan berisi nasi yang jatuh berderai ketika anak sulung seorang pesara tentera sedang makan menjadi petanda bapanya itu menemui ajal selepas disambar petir dalam kejadian di Sungai Durian, Tanjung Tualang di sini kelmarin.

Kejadian pukul 6 petang itu berlaku ketika Zahari Din, 48, sedang menjala ikan di sebuah bekas lombong di situ dengan menaiki sampan bersendirian.

Mayat peniaga santan di Pasar Tanjung Tualang itu ditemui oleh beberapa pemancing yang melalui kawasan tersebut selepas 20 minit kejadian itu berlaku dalam keadaan terbaring dengan kepala dan sebahagian bahagian kanan tubuhnya terbakar.

Mereka kemudian memaklumkan kepada isteri mangsa, Rosmawati Whori, 46, mengenai kejadian itu.

Menurut Rosmawati, suaminya keluar menjala ikan di lombong berkenaan yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah mereka 20 minit sebelum kejadian itu berlaku.

Katanya, menjala merupakan rutin harian suaminya sejak bersara daripada tentera beberapa tahun lalu.

“Saya mula resah apabila suami tidak pulang-pulang ketika ribut dan hati saya bertambah berdebar apabila pinggan berisi nasi yang sedang dimakan anak sulung saya, Nurul Fadilah, 23, ketika itu tiba-tiba jatuh berderai,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Batu Gajah di sini semalam.

Jenazah Zahari selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Durian, Tanjung Tualang selepas solat Zuhur semalam.

Kejadian itu turut mengakibatkan rumah seorang warga emas rosak teruk.

Alang Halimah Amban, 60, yang cacat penglihatan dan pendengaran memberitahu ketika kejadian dia berada bersendirian di rumah manakala anaknya, Roslee Razali, 33, keluar bekerja.

"Saya menggigil ketakutan dan hanya mampu menadah tangan berdoa.

"Sebahagian bumbung bahagian dapur dan bilik utama diterbangkan angin manakala rabung dan dinding rumah pula rebah," katanya.

No comments:

Post a Comment