Oleh MOHD. AZLI ADLAN
SETIU – Niat baik seorang warga emas mahu membantu orang menunjukkan rumah sewa tertukar mimpi ngeri apabila rantai emas berloket dipakainya disamun di Felda Chalok Rahmat di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 1.15 tengah hari itu, wanita berusia 72 tahun yang mengalami masalah penglihatan turut cedera pada bahagian dahi akibat dipukul suspek dipercayai menggunakan serpihan batu simen.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sebelum kejadian, mangsa yang baru pulang dari rumah jirannya tiba-tiba didatangi seorang wanita berusia 30-an yang berpura-pura bertanyakan rumah sewa.
“Mangsa yang mempunyai masalah penglihatan yang tidak menyangka apa-apa meminta tangannya dipimpin suspek bagi membolehkan dia menunjukkan lokasi rumah sewa tersebut.
“Suspek kemudiannya berpura-pura kononnya melihat rumah sewa berkenaan sebelum mengajak mangsa duduk di atas katil terdapat di dalam bilik di premis berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mohd. Zain berkata, sebaik duduk di atas, suspek tiba-tiba menolak wanita warga emas tersebut hingga rebah sebelum menekup muka mangsa menggunakan sehelai kain.
Menurutnya, berlaku pergelutan sebelum suspek bertindak memukul dahi wanita warga emas itu dengan serpihan batu simen.
“Suspek kemudiannya meragut rantai emas berloket dipakai mangsa lalu melarikan diri.
“Jeritan mangsa yang berlumuran darah didengari salah seorang jirannya sebelum dibantu dikejarkan ke Hospital Setiu di sini,” katanya.
Katanya, mangsa menerima rawatan di unit kecemasan hospital itu dan gerakan memburu suspek sedang giat dilakukan.
No comments:
Post a Comment