PETALING JAYA - Seramai 3,221 mangsa banjir daripada 834 keluarga direkodkan di tujuh buah negeri sehingga pukul 5 petang semalam.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Johor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,239 mangsa daripada 643 keluarga di empat daerah.
Situasi di Pahang, Terengganu dan Sarawak turut menunjukkan peningkatan jumlah mangsa banjir.
Di Pahang, jumlah mangsa meningkat kepada 186 daripada 43 keluarga di daerah Rompin, sementara Terengganu mencatat 96 mangsa daripada 29 keluarga.
Sarawak pula merekodkan seramai 20 mangs daripada 13 keluarga.
Sementara itu di Perak, bilangan mangsa kekal tidak berubah sejak semalam iaitu 31 orang daripada sembilan keluarga.
"Setakat pagi ini (semalam) sebanyak 36 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi," lapor JKM.
Di Terengganu, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit selepas mereka terpaksa berpindah ke PPS setelah rumah masing-masing terjejas akibat fenomena air pasang dan ombak besar.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu berkata, dua buah PPS telah dibuka di Kemaman manakala sebuah di Dungun.
Di Lumut, Perak pula, mangsa banjir di tiga buah kampung di Pantai Remis masih ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai sejak ia dibuka pada 9 Januari lalu.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata, seramai 31 orang mangsa melibarkan sembilan keluarga itu berasal dari Kampung Pulau Serai, Kampung Kasi dan Kampung Pengkalan Damar.

No comments:
Post a Comment