Translate

Tuesday, February 10, 2026

Bekas guru besar didakwa terlibat aktiviti ubah wang haram

 

KUALA TERENGGANU – Seorang bekas guru besar sebuah sekolah rendah di Marang dihadapkan atas tujuh pertuduhan melakukan pengubahan wang haram bernilai lebih RM28,000 di Mahkamah Sesyen di sini semalam. 

Tertuduh, Zalina Bidin, 47, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman. 

Berdasarkan dua pertuduhan, dia didakwa melibatkan diri dalam transaksi aktiviti haram dengan memberikan arahan memindahkan wang berjumlah RM3,288 dan RM7,200 kepada akaun penerima.

 Zalina didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. 

Tertuduh juga menghadapi lima pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah keseluruhan RM18,144.60 yang dimasukkan ke akaun bank miliknya. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta mana lebih tinggi. 

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan antara Ogos hingga November 2022 di tiga bank berasingan di Kuala Terengganu. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Feisal Mohd Azmi, manakala tertuduh pula diwakili peguam, Mohd. Hazwan Hamidun. Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM30,000 bagi kesemua tujuh pertuduhan dengan seorang penjamin.

No comments:

Post a Comment