KUALA NERUS – Penganjuran Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) menjadi tumpuan pengguna untuk membeli barangan keperluan menggunakan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (Sara) bulanan.
Tinjauan di PJRM di Kampung Banggol Binjai, Tepoh, di sini semalam mendapati lebih 80 peratus pengguna membayar pembelian menggunakan wang Sara.
Penganjur PJRM tersebut, Muhamad Fazil Muhamad berkata, rata-rata pelanggan setiap PJRM kendalian Pasar Raya Maimo Seberang Takir miliknya merupakan penerima Sara.
“Saya dibenarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menganjurkan purata tujuh PJRM dalam sebulan.
“Setiap kali penganjuran, purata RM25,000 daripada kira-kira RM30,000 hasil jualan dibayar menggunakan Sara,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, antara barangan keperluan popular dibayar menggunakan wang Sara ialah beras, telur ayam, makanan dalam tin, pencuci pakaian dan pinggan serta mi segera.
“Orang ramai akan membeli barang keperluan untuk persiapan Ramadan menggunakan wang Sara one-off RM100 yang mula diterima Isnin ini,” katanya.
Seorang pengguna, Jamilah Awang, 57, berkata, dia membelanjakan wang Sara di PJRM kerana merasakan ia lebih menguntungkan.
“Belanja di PJRM lebih menjimatkan kerana barangan dijual pada harga mencecah 30 peratus lebih murah daripada pasaran,” katanya.

No comments:
Post a Comment