KUALA TERENGGANU – Keghairahan seorang lelaki melombong bitcoin menggunakan penyambungan haram berkecai apabila dia ditangkap dalam serbuan di Taman Sejati, Kampung Wakaf Baru, Kuala Nerus dekat sini kelmarin.
Suspek berusia 53 tahun itu ditangkap pada pukul 10.45 malam bersama pelbagai peralatan melombong bitcoin yang bernilai keseluruhan RM15,600.
Ketua Polis Daerah Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, serbuan dilakukan bersama pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) tersebut berikutan maklumat berlakunya aktiviti mencuri arus elektrik di premis tersebut.
“Hasil pemeriksaan dengan bantuan juruteknik TNB mengesahkan berlakunya aktiviti penyambungan bekalan elektrik bagi pemasangan mesin bitcoin.
“Soal siasat awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam aktiviti perlombongan bitcoin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut Azli, serbuan tersebut berjaya merampas mesin bertulis avalonminer dan alat penyejuk mesin bitcoin yang masing-masing berjumlah 12 unit serta sebuah telefon bimbit.
Tambahnya, suspek direman selama empat hari mulai semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379, 427 dan 37(3) Kanun Keseksaan serta Akta Bekalan Elektrik 1990.

No comments:
Post a Comment