KUALA NERUS – Hakisan pantai yang melanda Mengabang Telipot dan Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini, pada musim tengkujuh ini semakin memburuk dengan sebahagian laluan utama menghubungkan kedua-dua kampung itu runtuh dibadai ombak besar kelmarin.
Jalan Pantai Kampung Tanjung-Mengabang Telipot sepanjang 50 meter terpaksa ditutup untuk kegunaan kenderaan ekoran runtuhan yang terjadi pada pukul 9 malam.
Kerosakan laluan itu menjejaskan sebahagian besar penduduk dan beberapa premis perniagaan berhampiran termasuk Warung Pok Nong yang terkenal dengan ikan celup tepung.
Seorang penduduk, Khairul Anuar Shamsuddin, 43, berkata, hakisan di Jalan Pantai Kampung Tanjung-Mengabang Telipot mula dikesan pada 5 Januari lalu.
"Waktu itu, cuma sebahagian kecil laluan itu retak dibadai ombak. Saya tidak sangka dalam tempoh enam hari, sebahagian besar jalan raya terbenm di bawa arus laut.
"Keadaan semakin memburuk ekoran ombak semakin kuat setinggi 2.4 meter disertai angin kencang sekuat 40 kilometer sejam melanda kawasan ini pada malam tadi (kelmarin)," katanya ketika ditemui Kosmo! di Mengabang Telipot di sini semalam.
Menurutnya, hakisan pantai yang melanda kelmarin turut meranapkan beberapa bangsal dan jeti nelayan berhampiran.
Dia bimbang hakisan pantai akan semakin memburuk ekoran fenomena ombak besar dan angin kencang tersebut yang dijangka berlarutan sehingga Selasa ini.
"Saya rayu pihak berkenaan ambil langkah segera bagi mengatasi hakisan pantai yang semakin mengganas ini.
"Bimbang jika dibiarkan bukan sahaja jalan raya ini runtuh sepenuhnya, malah hakisan tersebut boleh melarat ke rumah penduduk dan premis perniagaan berhampiran," katanya.

No comments:
Post a Comment