Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA NERUS – UMNO membuka pintu kepada sesiapa sahaja termasuk Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dikaitkan kemungkinan dipecat oleh partinya untuk menyertai Rumah Bangsa.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Rumah Bangsa terbuka untuk sesiapa sahaja berdasarkan objektifnya menyatukan orang Melayu.
“Keputusan Perhimpunan Agung UMNO untuk menubuhkan Rumah Bangsa mempunyai tujuan bersurat dan bersirat.
“Sama ada mereka mahu mengambil langkah-langkah politik, itu adalah hak mereka,” katanya di sini semalam. Terdahulu beliau ditemui selepas merumuskan Permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri sempat berseloroh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga boleh menyertai Rumah Bangsa asalkan melakukan ‘taubat nasuha’.
Sebelum ini, Hamzah dikatakan bakal dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Bersatu pada esok bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan parti itu.
Hamzah asalnya ahli UMNO yang juga Ahli Parlimen Larut menyertai Bersatu pada 14 Disember 2018.
No comments:
Post a Comment