Translate

Saturday, February 21, 2026

TFC sasar kelompok tiga teratas

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

TERENGGANU FC (TFC) mahu kembali fokus dalam saingan Liga Super dengan menyasar membawa pulang tiga mata dalam pertemuan dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini. 

P e n g e n d a l i  TFC, Badrul Afzan Razali berkata, kemenangan tersebut amat penting bagi terus mengukuhkan kedudukan skuad Sang Penyu yang kini berada di tangga keempat liga. 

Beliau berkata, misi menewaskan skuad Jang itu juga ibarat menebus kekecewaan tersingkir dalam saingan Kejuaraan Piala ASEAN (ACC) dan Piala Malaysia baru-baru ini. 

“Kami mahu fokus dalam baki lapan perlawanan Liga Super bermula dengan Negeri Sembilan malam esok (ini) untuk mencapai misi mengakhiri kempen musim ini di tempat ketiga teratas.

 “Ia penting untuk kami kembali layak ke pentas Asia yang telah dinikmati pada musim ini dan musim lalu,” katanya. 

Badrul Afzan berkata, bagi mencapai misi tersebut, anak buahnya perlu mengatasi isu mudah hilang fokus pada lewat perlawanan yang menjadi ‘duri dalam daging’ kepada skuad Sang Penyu dalam beberapa perlawanan penting sebelum ini. 

Beliau berkata, kekalahan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada kedua-dua aksi separuh akhir Piala Malaysia dan BG Pathum United pada aksi terakhir Kumpula A ACC pada Sabtu lalu jelas disebabkan kelekaan pada saat-saat akhir.

 Badrul Afzan berkata, sedikit rombakan akan dilakukan dengan mengambil kira masalah kecergasan dan kecederaan pemain dalam aksi dengan skuad Jang nanti. 

Beliau berkata, apa yang penting skuad kendaliannya terus fokus dan mengurangkan kesilapan bagi menewaskan Negeri Sembilan di tempat lawan seperti dilakukan pada aksi suku akhir Piala Malaysia sebelum ini.

No comments:

Post a Comment