KUALA TERENGGANU - Keghairahan seorang pekerja pelantar minyak mahu meraih keuntungan lumayan dalam masa singkat 'berkubur' apabila dia mengalami kerugian RM48,905.41 akibat diperdaya skim pelaburan tidak wujud.
Lelaki berusia 51 tahun yang menyedari tertipu telah membuat laporan di Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus pada pukul 12 tengahh hari, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, mangsa telah dihubungi seorang wanita yang mengaku sebagai ejen skim pelaburan tersebut pada 3 Januari lalu.
"Suspek telah menawarkan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lebih 14 kali ganda dalam tempoh enam jam.
"Modal awal menyertai skim pelaburan tersebut hanya RM400," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Azli berkata, mangsa yang tertarik dengan perlawaan terbabit telah dimasukkan ke dalam aplikasi kumpulan WhatsApp skim pelaburan berkenaan.
Beliau berkata, lelaki itu semakin ceria apabila dimaklumkan kononnya sudah mendapat keuntungan tidak lama selepas membuat pelaburan.
"Mangsa kemudian dimaklumkan perlu membuat pembayaran bagi mengeluarkan keuntungan yang diperoleh.
"Dia kemudiannya mengikut arahan suspek dengan membuat pembayaran ke dalam tujuh akaun bank berasingan," katanya.
Azli berkata, kesemua pembayaran tersebut dilakukan menerusi sembilan transaksi.
Beliau berkata, pekerja pelantar minyak itu akhirnya menyedari tertipu apabila keuntungan yang dijanjikan masih gagal dikeluarkan walaupun dia sudah berhabisan RM48,905.41.
"Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
No comments:
Post a Comment