Oleh MOHD. AZLI ADLAN
MARANG – Pas mahu memainkan peranan menjadi ‘orang tengah’ bagi menyelesaikan kemelut sedang dihadapi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berikutan pemecatan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin demi menyelamatkan masa depan Perikatan Nasional (PN).
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengakui sebelum ini ditemui oleh wakil Hamzah dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara berasingan baru-baru ini bagi menjelaskan pendirian masing-masing.
“Masing-masing (Hamzah dan Muhyiddin) ada hujah, saya dengar dan kita (Pas) hendak selesaikan. “Yang penting kita hendak selamatkan Perikatan Nasional dahulu,” katanya ketika ditemui di Rusila di sini semalam.
Abdul Hadi berkata, Pas berpandangan PN hanya boleh mengambil alih pemerintahan negara sekiranya melibatkan semua pihak dalam gabungan pembangkang tersebut.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas akan mengadakan mesyuarat pada esok bagi membincangkan kedudukan Ketua Pembangkang berikutan pemecatan Hamzah dalam Bersatu selain isu kekosongan Pengerusi PN yang sudah tertunggak hampir dua bulan.
“Kita akan bincang (Ketua Pembangkang) dalam mesyuarat Pas sekali dengan Pengerusi PN.
“Memang kita berhasrat hendak ambil alih PN, (kedudukan) Ketua Pembangkang belum ada keputusan lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi enggan mengulas desas-desus kononnya Hamzah akan sertai Pas mahupun membentuk parti politik baharu.
Sebaliknya, beliau menegaskan Pas memilih pendekatan tidak masuk campur tentang ‘rumah baharu’ yang akan dipilih Hamzah.

No comments:
Post a Comment