KUALA TERENGGANU – Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu Darul Iman (TFFC) kesal dengan sikap segelintir penyokong Selangor FC yang membuat kecoh di Jambatan Angkat Kuala Terengganu atau Drawbridge di sini, Ahad lalu.
Presiden TFFC, Mazuki Muhamad berkata, perbuatan berarak sambil memasang suar di kawasan ikon pelancongan Terengganu itu sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya secara tidak langsung mencemarkan imej penyokong bola sepak tempatan.
“Tambah dikesalkan sebahagian mereka memiliki dan positif dadah. Impak negatifnya bukan sahaja terhadap Selangor FC malah semua penyokong kelab bola sepak tempatan.
Ia umpama seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit,” katanya di sini semalam.
Mazuki berkata, TFFC menyokong tindakan tegas polis bagi membanteras sikap segelintir penyokong bola sepak yang keterlaluan dan tidak beradab.
Beliau berkata, kehadiran mana-mana penyokong kelab bola sepak ke Terengganu sebelum ini sentiasa disambut baik.
“Tidak salah berarak tetapi ikutlah peraturan. Janganlah menyebabkan kesesakan jalan raya dan mencetuskan kemarahan ramai,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan seramai 33 penyokong Selangor direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengganggu ketenteraman awal dengan berarak dan membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada pukul 6.30 petang, Ahad lalu.
Kesemua mereka sepatutnya menyaksikan aksi Liga Super antara Terengganu FC dan Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.
No comments:
Post a Comment