Oleh MOHD AZLI ADLAN, ABDUL RAZAK IDRIS, MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM dan NUR SYAZWANA MANSOR
PETALING JAYA – Faktor jarak yang dekat dengan kediaman dan harga berpatutan menjadi pilihan utama sebahagian ibu bapa yang ingin menghantar bayi dan anak mereka ke taska bagi memudahkan urusan kerana sibuk bekerja.
Tinjauan Kosmo! mendapati, ada dalam kalangan ibu bapa memilih taska sedemikian biarpun mengetahui ia tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Di Klang, Selangor, seorang pengawal keselamatan yang mahu dikenali sebagai Ernie, 30, berkata, walaupun mengetahui taska tempat anaknya yang berusia empat tahun diasuh tidak berlesen, namun dia tetap menghantarnya kerana yuran dikenakan mampu dibayar, selain jaraknya dekat dengan rumah.
"Memang diakui jumlah kanak-kanak agak ramai di situ, namun saya tiada pilihan.
"Suami saya bekerja kilang, gaji pun lebih kurang saya RM2,000 lebih, Apa yang penting masalah menjaga anak selesai," katanya.
Seorang pekerja swasta, Shahrina Yusri, 26, pula berkat,a dia menghantar anaknya berusia lima bulan ke taska tidak jauhh dari tempatnya bekerja.
Katanya, seorang rakan memberi cadangan disebabkan dia pun menghantar anaknya berusia dua tahun di taksa sama.
Dalam pada itu, terdapat ibu bapa yang mengambil berat soal keselamatan anak-anak mengambil keputusan memilih taksa yang betul-betul selamat dan berdafar dengan JKM.
Di Kuala Terengganu, seorang bakal ibu yang sarat hamil tujuh bulan dalam dilema untuk menghantar bayinya ke taska ekoran penularan beberapa kes penganiayaan di peremis berkenaan sehingga membawa kepada kematian akhir-akhir ini.
Sharina Ahmad Tajuddin, 26, berkata, dia yang bekerja sebagai penjawat awam merancang menghantar bayi yang bakal dilahirkannya pada bulan Mac depan ke taska selepas berpantang.
"Rakan sekerja menasihatkan saya menghantar ke taska berdaftar yuran bulanannya mahal," katanya.
Di Sungai Petani, Kedah, seorang ibu kepada dua anak berusia dua dan empat tahun, Nor Juliana Yaakob, 35, berkata, perkara pertama dilakukan sebelum memilih taska ialah memastikan ia berdaftar dengan JKM.
"Saya juga akan risik-risik dengan orang yang pernah hantar anak ke taska tersebut, kalau mereka kata tak ada masalah, baru saya hantar," katanya.
Di Ipoh, Perak, seorang kakitangan swasta, Salawati Ahmad, 30, berkata, dia menghantar dua anaknya ke taska swasta berhampiran rumahnya.
"Memang bayaran bulanannya agak mahal tetapi saya lebih mementingkan keselamatan anak-anak, selain pusat jagaan dilengkapi televisyen litar tertutup (CCTV)," katanya.

No comments:
Post a Comment