Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Nilai rampasan dadah di Terengganu meningkat hampir 25 kali ganda kepada RM76.42 juta pada tahun lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, kebanyakan dadah yang dirampas tersebut merupakan syabu dan pil Yaba.
“Peningkatan mendadak berbanding nilai rampasan RM3.1 juta pada 2023 itu disebabkan tindakan agresif kita melaksanakan penguatkuasaan membanteras dadah di negeri ini.
“Semua ibu pejabat polis daerah (IPD) telah menubuhkan task force (pasukan petugas) dengan setiap hari mesti ada tangkapan (kes penyalahgunaan dadah),” katanya pada Perhimpunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Khairi berkata, seramai 56 individu disyaki pengedar dadah berjaya diberkas di seluruh negeri ini sepanjang tahun lalu berbanding 35 pengedar dadah ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 pada 2023.
“Tangkapan terhadap penagih dadah di seluruh negeri ini juga bertambah kepada 11,893 orang pada tahun lalu sekali gus menunjukkan kenaikan 1,566 kes tangkapan iaitu lebih 15.16 peratus berbanding tahun 2023,” katanya.
Mohd. Khairi berkata, setiap penagih dadah yang diberkas dan didapati mempunyai kesalahan berulang buat kali ketiga akan didakwa mengikut Seksyen 39c Akta Dadah Berbahaya 1956.
Beliau berkata, seksyen terbabit memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

No comments:
Post a Comment