KUALA TERENGGANU – Kadar minimum zakat fitrah di Terengganu kekal RM10 seorang seperti tahun lalu berdasarkan harga jualan beras super import dan Siam di negeri ini.
Satu lagi kategori bagi yang memakan beras premium jenis basmathi dan setara dengannya pula ialah RM21 sekepala iaitu kurang RM1 berbanding tahun lalu.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, penetapan kadar zakat fitrah tersebut berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan umat Islam negeri ini.
“Tinjauan mendapati ratarata umat Islam Terengganu memakan beras gred tersebut memandangkan beras gred super tempatan lima peratus sukar didapati,” katanya di Kompleks Seri Iman di sini semalam.
Kata beliau, kebiasaannya kebanyakan umat Islam Terengganu membayar zakat fitrah melebihi kadar minimum ditetapkan.
Katanya, ia terbukti apabila purata bayaran zakat fitrah bagi setiap individu di negeri ini pada bulan Ramadan tahun lalu adalah RM11.
“Begitupun, kita tetap terima (bayaran zakat fittrah melebihi kadar minimum) dan amil akan merekodnya dalam resit,” katanya.
Ujarnya, Maidam berjaya mengutip kira-kira RM12.03 juta pada tahun lalu melebihi sasaran awal RM11 juta.
“Ia sebahagian daripada keseluruhan lebih RM275.96 juta kutipan zakat yang telah diperoleh Maidam pada tahun lalu.
“Kita juga telah mengagihkan zakat lebih kurang RM318.69 juta kepada asnaf berkelayakan dalam tempoh sama,” katanya.
No comments:
Post a Comment