KUALA TERENGGANU – Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu sedang merangka kaedah untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke negeri ini pada tahun ini.
Pengarah Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd. Rahman berkata, kemasukan pelancong ke Terengganu meningkat mendadak kepada lebih 8 juta pada tahun lalu, namun bilangan pengunjung dari luar negara hanya seramai 40,000 orang.
“Angka itu cuma satu peratus daripada keseluruhan pelancong yang mengunjungi negeri Terengganu pada tahun lalu.
“Kebanyakan mereka dari China, Itali, Perancis dan Singapura yang gemar bercuti di pulau-pulau peranginan di Terengganu,” katanya selepas menerima kostum maskot rasmi pelancongan Terengganu di sini malam kelmarin.
Kostum maskot pasangan penyu yang diberikan gelaran Awang Nelang dan Mek Ara itu merupakan sumbangan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina, Melayu dan India Terengganu.
Ahmad Ridzwan memberitahu, pihaknya akan mempelbagaikan aktiviti di rangkaian pulau-pulau peranginan seperti Pulau Redang, Perhentian dan Lang Tengah dalam usaha untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke negeri ini.
Selain itu, penganjuran program Pelita Raya, Festival Candat Sotong, Pelita Raya dan Karnival Pantai juga akan diperkasa. Inisiatif berkenaan dibuat bagi mencapai matlamat tersebut menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Antara program yang dilaksanakan dalam masa terdekat ialah Pelita Raya yang akan diadakan di perkarangan Kompleks Sukan Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus pada bulan Ramadan tidak lama lagi.
“Penganjuran program itu pada tahun ini lebih berskala besar dan turut melibatkan penyertaan negeri-negeri lain serta negara jiran,” katanya.
No comments:
Post a Comment