Oleh MOHD AZLI ADLAN
MARANG – Sebuah keluarga kaum Cina di Kampung Tembok Batu, Wakaf Tapai di sini yang tinggal di kawasan majoriti Melayu tetap menyambut Tahun Baharu Cina dengan meriah setiap tahun.
Malah menjadikan nasi dagang sebagai menu utama buat tetamu ketika menyambut perayaan itu tahun ini. Kata Lim Chong Swee, 63, menyambut Tahun Baharu Cina tetap meriah setiap tahun malah mereka sekeluarga turut menggantung tanglung di luar rumah.
“Komuniti Cina di Kampung Tembok Batu ini cuma minoriti, namun kami tetap menyambut Tahun Tahun Baharu Cina dengan meriah.
“Jiran-jiran Melayu pun ikut serta memeriahkan Tahun Baharu Cina dengan beraya di rumah kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tembok Batu, Wakaf Tapai, di sini semalam.
Chong Swee berkata, dia akan ahli keluarga memasang tanglung dan mengemas rumah buat kali terakhir sebelum makan besar pada malam tadi.
Katanya, pergaulan dengan masyarakat Melayu turut mempengaruhi juadah istimewa yang dinikmati keluarganya pada pagi Tahun Baharu Cina.
“Kami lebih gemar makan nasi dagang, pulut panggang dan tapai pulut yang dimasak sendiri di hari pertama Tahun Baharu Cina.
"Juadah istimewa tersebut kami belajar cara membuatnya daripada jiran-jiran Melayu,” katanya.
Chong Swee berkata, mereka juga menempah hidangan lain seperti bihun goreng, nasi lemak, sate dan keropok lekor sebagai juadah Tahun Baharu Cina.
Dia berkata, juadah tersebut untuk dihidang kepada jiran-jiran Melayu yang datang berkunjung nanti.

No comments:
Post a Comment