Translate

Thursday, February 26, 2026

Sudah lewat 5 tahun

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kelewatan kerja-kerja membina benteng pemecah ombak yang sepatutnya sudah siap lima tahun lalu didakwa punca hakisan teruk di Pantai Mengabang Telipot dan Pengkalan Maras sejak akhir-akhir ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd. Rahman berkata, projek pembinaan benteng pemecah ombak yang dirancang lebih tujuh tahun itu hanya bermula bulan Ogos lalu.

"Projek ini sebenarnya telah ditangguhkan pada sewaktu peralihan Kerajaan Persekutuan pada 2018 sebelum disambung semula ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Ia terpaksa ditender semula sebelum kerja-kerja pembinaan projek itu hanya bermula kira-kira lima bulan lalu," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Bazlan berkata, kerja-kerja pembinaan pemecah ombak tersebut difahamkan hanya dapat berjalan selama dua bulan sebeum terpaksa dihentikan sekejap ekoran ketibaan Monsun Timur Laut.

Dakwa beliau, 'kerja separuh jalan' itu dipercayai memburukkan lagi ancaman hakisan di Pantai Mengabang Telipot dan Pengkalan Maras ekoran fenomena air pasang besar yang membawa ombak kuat dan angin kencang.

"Kita sebenarnya sudah terlewat lima tahun. Sepatutnya benteng pemecah ombak di Pantai Mengabang Telipot dan Pengkalan Maras sudah siap dan kita boleh memohon ia dipanjangkan ke Batu Rakit di sini dan Merang, Setiu pula.

"Yang menjadi mangsa dan menderita penduduk setempat, banyak harta-menda mereka dan struktur jalan raya musnah dibadai ombak," katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman pula menggesa projek pembinaan benteng pemecah ombak tersebut disegerakan tanpa perlu ditangguhkan.

Beliau berkata, kerosakan disebabkan hakisan di Pantai Mengabang Telipot dan Pengkalan Maras  sudah semakin kroniks sehingga menjejaskan tanah perkuburan Islam perkampungan tersebut.

"Saya difahamkan setakat ini15 pusara terpaksa dialihkan bagi mengelakkan ia ditelan ke dalam laut.

"Isu hakisan pantai di kawasan itu bukan pertama kali berlaku dan kita telah perjuangkan lebih 10 tahun," katanya.

Isnin lalu, Kosmo! melaporkan hakisan pantai menyebabkan Jalan Pantai Kampung Tanjung - Mengabang Telipot sejauh kira-kira 30 meter terpaksa ditutup untuk semua kenderaan.

No comments:

Post a Comment