Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Bekas guru besar sebuah sekolah rendah di Marang dihadapkan atas 15 pertuduhan bersubahat mengemukakan dokumen palsu berkaitan tuntutan pembekalan makanan asrama dan kontrak pembersihan bernilai RM500,318.
Tertuduh, Zalina Bidin, 47, yang kini bertugas sebagai pegawai pendidikan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Marang membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Mohd. Azhar Othman.
Mengikut pertuduhan pertama hingga 12, tertuduh didakwa bersubahat dengan pembantu tadbir dan ejen syarikat terbabit mengemukakan dokumen palsu sehingga mendorong pembayaran melibatkan amaun keseluruhan RM500,318 diluluskan antara 2 Mei 2022 hingga 20 Februari 2023.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan ke-12 hingga ke-15 pula, tertuduh didakwa bersubahat berpakat dengan penyelia sebuah syarikat pembersihan memperdaya pembantu tadbir Pejabat Pendidikan Daerah Marang dengan mengemukakan borang pengesahan dan rekod kehadiran pekerja kebersihan palsu.
Zalina didakwa mengemukakan borang menuntut gaji penuh bagi salah seorang pekerja pembersihan sedangkan individu tidak hadir bekerja selama 21 hari pada bulan Julai, Ogos dan September 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 28 (1) (c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Mahkamah membenarkan Zalina dibebaskan dengan jaminan RM25,000. Tertuduh diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan dilarang mengganggu saksi.
Kosmo! pada 6 Februari 2024 melaporkan Zalina bersama dua suspek lain ditahan bagi membantu siasatan mengemukakan tuntutan palsu bagi pembekalan makanan asrama dan pembersihan.
Mereka disyaki mengemukakan tuntutan pembekalan makanan bagi 100 murid sedangkan sekolah itu hanya mempunyai 35 murid.

No comments:
Post a Comment