Oleh MOHD AZLI ADLAN dan NORLIDA AKMAR IDROS
PETALING JAYA – Gummy ball yang mempunyai pelbagai corak dan warna menarik masih dijual di pasaran kerana sentiasa dicari murid sekolah setiap kali tamat waktu persekolahan.
Tinjauan Kosmo! di beberapa lokasi mendapati, gula-gula berbentuk bola itu masih dijual secara berleluasa oleh penjaja yang membuka gerai berdekatan sekolah biarpun ramai terkejut dengan berita kematian seorang murid di Sungai Dua, Seberang Perai, Pulau Pinang akibat tercekik jajan itu kelmarin.
Di Kuala Terengganu, penjaja menjual gula-gula berbentuk jeli atau gummy ball itu kerana ada permintaan dan menjadi antara jajan kesukaan muridmuid setiap kali mereka pulang dari sekolah.
Seorang penjaja yang enggan dikenali mendakwa, gummy ball terbabit dijual pada harga 50 sen sebiji.
“Ia digemari kerana memiliki pelbagai corak seperti bola dan itik.
“Rasanya juga manis dan kenyal. Setakat ini saya tidak pernah lagi dengar kes tercekik gummy ball ini daripada murid-murid yang m e m b e l i nya ,” katanya di sini semalam.
Di Alor Setar, Kedah pekerja di beberapa kedai runcit memberitahu, mereka tetap menjualnya kerana ramai murid yang bertanyakan mengenainya selepas pulang dari sekolah.
Menurut pekerja kedai runcit dikenali sebagai Ahmad, 30, jajan itu dijual pada harga 80 sen sebiji dan setiap hari pasti banyak yang terjual.
“Warnanya yang terang dan berwarna-warni dalam corak bola serta buah-buahan seperti strawberi, anggur dan limau menarik perhatian kanak-kanak.
Di kedai ini tiada gummy eyeball, namun sama sahaja, bezanya hanya corak. “Rasanya agak kenyal dan di dalamnya ada isi seperti jem.
Sebagai contoh kalau strawberi ada isinya berperisa strawberi,” katanya.
Di Seberang Perai, Pulau Pinang pula mendapati, beberapa gerai ‘jajan’ atau makanan ringan yang beroperasi berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Butterworth masih beroperasi di luar kawasan sekolah dan ratarata pengusahanya menjual makanan ringan termasuk yang viral, antaranya keropok, gula-gula dan wafer pada harga 60 sen setiap satu.
Bagaimanapun, tiada sebarang jualan gummy eyeball di premis makanan ringan itu.
Difahamkan, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sudahkan menyita gula-gula kenyal itu pada Rabu lalu.
Terdahulu, kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang sebelum ini dilaporkan kritikal akibat tercekik gula-gula gummy eyeball telah meninggal dunia, kira-kira pukul 11 malam kelmarin.
Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin sebelum ini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP), menghembuskan nafas terakhir di sisi ibu bapanya.
Kanak-kanak itu dipercayai membeli dua biji gula-gula gummy di sebuah gerai sebelum sesi persekolahan Kelas AlQuran dan Fardu Ain (KAFA) di sebuah sekolah kebangsaan di Butterworth, Selasa lalu.
Difahamkan, ketika kejadian kira-kira pukul 2.30 petang, mangsa dikatakan tercekik gulagula tersebut dan mengalami kesukaran bernafas.
Dia sempat berjalan ke arah guru sebelum rebah secara tiba-tiba.

No comments:
Post a Comment