Translate

Saturday, February 21, 2026

Sasar UPTM, UniKL disenarai di Bursa Malaysia

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan untuk menyenarai Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) berdaya maju kelolaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu merupakan salah satu daripada 28 inisiatif utama yang dijadikan sebagai garis panduan perubahan KKDW pada tahun ini.

 “Selaras dengan Putera35 (Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035), kami merancang untuk UPTM dan UniKL disenarai di Bursa Malaysia. 

“Kita telah meletakkan jeda waktu maksimum tiga tahun daripada sekarang berdasarkan track record (rekod prestasi) keuntungan (UPTM dan UniKL),” katanya ketika ditemui selepas Permukiman KKDW di sini semalam. 

Ahmad Zahid berkata, sasaran itu realistik berikutan kejayaan kedua-dua IPT tersebut meraih rekod kewangan memberangsangkan yang antara menjadi prasyarat utama penyenaraian ke Bursa Malaysia.

 Beliau berkata, kemasukan pelajar termasuk dalam kalangan warga asing ke UPTM dan UniKL turut menunjukkan peningkatan terutama bagi kursus Kecerdasan Buatan (AI), Internet Benda (IoT) dan Robotik.

 “Selain itu, kita juga berhasrat agar entiti usahawan-usahawan profesional yang dibimbing dan dibiayai Mara untuk membuka Uni Klinik, Uni Dental (Pergigian) dan Uni Farmasi disenaraikan (dalam Bursa Malaysia). 

“Saya juga telah melantik 15 pemegang Ijazah PhD (Doktor Falsafah) dalam kalangan (kakitangan) KKDW untuk menjadi kumpulan pemikir,” katanya.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, kumpulan pemikir dalaman tersebut akan menghasilkan kajian keberkesanan program KKDW sepanjang Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) serta kajian strategik bagi RMK-13. 

Dalam pada itu, beliau turut berpuas hati dengan kejayaan KKDW mencapai 100 peratus kesemua 42 insitiatif utama yang telah digariskan bagi tahun lalu. 

“(Antaranya), hampir 50 anak-anak syarikat (KKDW) yang mengalami kerugian pada dua tahun pertama (beliau menjadi Menteri KKDW) telah mencatat keuntungan,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment