Oleh MOHD AZLI ADLAN
BESUT – Seorang pelancong warga China maut akibat lemas ketika sedang melakukan aktiviti selaman snorkel di Pulau Perhentian, Kuala Besut di sini semalam.
Lelaki warga emas berusia 68 tahun tersebut lemas ketika melakukan aktiviti air tersebut pada pukul 11.40 pagi.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Rozaime Ab. Rahim berkata, insiden itu dikatakan berlaku di perairan Teluk Keke, Pulau Perhentian Besar di sini.
“Sewaktu kejadian, mangsa dikatakan sedang melakukan aktiviti snorkeling (selam snorkel) bersama rakan-rakannya di perairan terbabit.
“Dia dikatakan tiba-tiba tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian di sini,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Rozaime berkata, pemeriksaan pegawai perubatan klinik kesihatan tersebut mengesahkan lelaki warga asing terbabit telah meninggal dunia.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk tindakan lanjut.
“Bedah siasat terhadap mayat mangsa selesai pada pukul 9.05 pagi tadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment