Translate

Saturday, February 28, 2026

Pemandu Honda layak dibicarakan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Mahkamah Majistret di sini semalam memutuskan prosiding kes seorang suri rumah yang dituduh membunuh tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dalam satu kemalangan pada 9 Oktober lalu boleh diteruskan bagi perbicaraan.

Majistret Nur Amira Fatihah Osman memberitahu mahkamah tertuduh, Norizan Ismail, 49, layak dibicarakan berdasarkan laporan psikiatri yang diterima dari Hospital Permai, Johor Bahru.

Beliau juga memutuskan sebutan semula bagi pengurusan kes tersebut berjalan pada 20 Februari depan.

Berdasarkan tiga pertuduhan, Norizan didakwa menyebabkan kematian Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; dan Khairil Anwar Jamaludin, 20.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh yang ketika itu memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V di Jalan Pantai berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun di sini pada pukul 7.30 malam, 9 Oktober lalu.

Norizan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman hukuman mati atau penjara antara 30 tahun dan 40 tahun serta hukuman minimum 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini Norizan telah dihantar ke Hospital Permai bagi pemeriksaan psikiatri selama tiga bulan sejak 15 Oktober lalu.

Kosmo! 11 Oktober lalu melaporkan tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas dua motosikal dinaiki mereka dirempuh kenderaan Honda HR-V dipandu Norizan.

Kejadian menyayat hati pada pukul 7.20 malam itu berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke kampus selepas makan malam di sebuah gerai yang tidak jauh dari kampus UiTM Dungun.

Mangsa yang parah dalam kejadian itu ialah Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20.

Khairil Anwar, Ku Adib Aizam dan Muhammad Ammar Danish merupakan pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Perakaunan manakala Muhammad Akmal pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan.


No comments:

Post a Comment