KUALA TERENGGANU – Semakin ramai menjadi mangsa penipuan di negeri ini dengan kerugian keseluruhan mencecah RM42.06 juta sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, kebanyakan mereka terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud.
“Sekarang semakin ramai pegawai kerajaan, pekerja industri minyak dan gas serta pesara menjadi mangsa scammer.
“Mereka menjadi mangsa skim pelaburan tidak wujud yang menyebabkan kerugian lebih besar sehingga mencecah jutaan ringgit berbanding kes-kes jenayah komersial lain,” katanya di sebuah pasar raya besar di sini semalam.
Terdahulu beliau ditemui selepas menyantuni 54 murid asnaf dan anak yatim yang menerima sumbangan kelengkapan sekolah.
Mohd. Khairi berkata, kebanyakan golongan profesional dan terpelajar itu rambang mata dengan tawaran pulangan lumayan kononnya boleh diperolehi dalam masa singkat yang dijanjikan penjenayah.
Beliau berkata, mereka hanya menyedari tertipu apabila tidak memperolehi keuntungan dijanjikan setelah banyak modal dikeluarkan.
“Kes jenayah scammer ini dilaporkan hari-hari walaupun Polis Diraja Malaysia sentiasa memberi peringatan dan nasihat termasuk menerusi pelbagai saluran media sosial.
“Media (massa) juga menghebahkan kes (penipuan scammer) setiap hari tetapi kesedaran mereka masih lagi rendah,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Khairi berkata, sebanyak 1,330 kes jenayah komersial melibatkan penipuan dilaporkan pada tahun lalu. Beliau berkata, ia peningkatan berbanding 1,237 kes dengan kerugian keseluruhan RM34.12 juta yang direkodkan pada tahun 2023.
No comments:
Post a Comment