Oleh MOHD. AZLI ADLAN
TERENGGANU FC (TFC) berazam tidak mahu mensia-sia kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk menewaskan Kuala Lumpur City (KL City) pada aksi Liga Super pada malam ini.
Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali berkata, tiga mata penuh pada aksi tersebut amat penting bagi terus menghimpit Sabah seterusnya merampas posisi ketiga Liga Super.
“Kita tidak boleh keciciran mata dalam baki tujuh perlawanan Liga Super yang tinggal untuk mencapai misi memintas Sabah.
“Tiga daripada tujuh aksi tersebut yang berlangsung di tempat sendiri (Stadium Sultan Mizan, Gong ) termasuk dengan KL City malam esok (ini) harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengutip sebanyak mungkin mata,” katanya.
Badrul Afzan berkata, misi untuk menamatkan saingan Liga Super musim ini sekurang-kurangnya di tangga ketiga mampu direalisasikan kerana skuad Sang Penyu kini hanya lima mata di belakang Sabah. Tambahnya, kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan pada aksi di tempat lawan pada Ahad lalu menjadi tonik kepada mereka untuk terus memburu kemenangan.
“Kecergasan pemain-pemain juga sudah semakin baik setelah kita melepasi jadual padat terpaksa menghadapi tiga kejohanan sekaligus yang berakhir minggu lalu. Mereka (pemain TFC) kini lebih bersedia untuk memberi fokus sepenuhnya terhadap baki saingan Liga Super,” katanya.
No comments:
Post a Comment