KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu takut dituduh kononnya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, seorang pesara kerugian RM50,000 diperdaya sindiket penipuan atau ‘scammer’.
Kejadian terbongkar selepas mangsa yang merupakan wanita warga emas berusia 71 tahun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pesara tersebut yang sedang berada di rumahnya di Batu Rakit, Kuala Nerus telah dihubungi individu tidak dikenali mengaku kononnya wakil sebuah syarikat utiliti pada Khamis lalu.
“Suspek mendakwa kononnya nama mangsa telah digunakan untuk pemasangan meter utiliti yang telah diubah suai di Pahang.
“Mangsa bertambah gelabah apabila panggilannya disambung pula ke individu lain mengaku pegawai polis,” katanya.
Azli berkata, pesara berkenaan terus tidak keruan apabila didakwa pula kononnya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Beliau berkata, wanita itu akur dengan arahan suspek agar memindahkan semua wang simpanan ke akaun bank diberikan kononnya bagi tujuan penyiasatan.
“Mangsa terus memindahkan RM50,000 ke dalam dua akaun bank diberikan suspek menerusi lima transaksi.
“Dia mula curiga apabila wang simpanannya tidak dipulangkan seperti dijanjikan,” katanya.
No comments:
Post a Comment