Oleh MOHD. AZLI ADLAN
TERENGGANU FC (TFC) bersemangat merealisasikan misi lolos ke separuh akhir Piala Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) dengan menjinakkan BG Pathum United di gelanggang lawan pada aksi terakhir Kumpulan A malam ini.
Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali berkeyakinan misi tersebut bukan mustahil walaupun mengetahui ia bukanlah tugas mudah.
“Kita memiliki peluang untuk mara ke separuh akhir dan tidak boleh melepaskannya begitu sahaja.
“Impian tersebut hanya boleh tercapai dengan memperolehi keputusan positif dalam aksi terakhir malam esok (ini) biarpun di laman lawan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
TFC kini berada di tangga ke dua Kumpulan A dengan berkongsi tujuh mata dengan PSM Makassar FC di tempat ketiga.
BG Pathum yang berada di tangga keenam Liga Premier Thai pula merupakan peneraju kumpulan dengan lapan mata.
Selain TFC, PSM Makassar dan BG Pathum, kelab Vietnam, Dong A Thant Hoa FC yang berada di posisi keempat turut berpeluang merebut tiket ke separuh akhir.
Badrul Afzan berkata, menewaskan BG Pathum di laman lawan bukan mustahil kerana skuad kendaliannya pernah membelasah Shan United 5-0 di hadapan penyokong kelab Myanmar tersebut sebelum ini.

No comments:
Post a Comment