Translate

Saturday, February 14, 2026

Duit Tabung Haji, wang simpanan lesap dikebas scammer

 KUALA TERENGGANU – Seorang wanita warga emas berputih mata selepas wang simpanan dari Tabung Haji miliknya berjumlah RM45,000 lesap akibat diperdaya sindiket scammer dalam kejadian di Kuala Terengganu baru-baru ini. 

Kejadian berlaku selepas mangsa berusia 61 tahun diugut sindiket berkenaan kononnya dia akan ditangkap pihak berkuasa selepas namanya dikaitkan dengan tuntutan palsu dari syarikat insurans. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada pukul 1.59 tengah hari semalam.

 “Mangsa dimaklumkan namanya telah disalah guna bagi tujuan tuntutan insurans perubatan palsu berjumlah RM63,000.

 “Mangsa kemudian disambungkan kepada suspek lain kononnya pegawai polis,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Azli berkata, mangsa telah mengikut arahan suspek agar membuka akaun bank baharu sebelum memindahkan simpanan Tabung Hajinya berjumlah RM45,000 selain membuat pinjaman peribadi RM50,000 yang turut dimasukkan ke dalam akaun baharu berkenaan. 

“Selain itu, mangsa turut mengikut arahan memasukkan wang miliknya berjumlah keseluruhan RM13,000 ke dalam dua akaun bank berasingan,” katanya.

No comments:

Post a Comment