KUALA NERUS – Projek pembinaan pemecah ombak di kawasan pesisir pantai antara Kampung Tanjung, Batu Rakit dan Kampung Pengakalan Maras di sini, yang kini terjejas teruk dengan hakisan dijangka siap sepenuhnya pada September tahun hadapan.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir. Osman Abdullah, berkata, kerja-kerja pembinaan pemecah ombak itu yang terhenti sementara ekoran Monsun Timur Laut (MTL) akan disambung semula pada bulan depan.
“Setakat ini, status projek pemuliharaan pantai dari Kampung Pengkalan Maras ke Kampung Tanjung, Batu Rakit sejauh kira-kira dua kilometer telah mencapai kira-kira 20 peratus.
“Projek tersebut termasuk pembinaan 16 pemecah ombak luar pesisir sejauh kira-kira 7.5 kilometer bernilai keseluruhan RM6.9 juta,” katanya di sini semalam.
Kosmo! 13 Januari lalu melaporkan banyak rumah penduduk, premis perniagaan dan infrastruktur termasuk jalan raya terjejas teruk akibat hakisan pantai sepanjang Batu Rakit hingga Mengabang Telipot yang semakin menjadi-jadi sepanjang musim tengkujuh ini.
Hakisan pantai itu diburukkan lagi oleh fenomena ombak besar dan angin kencang selaju 40 kilometer sejam yang melanda kawasan itu pada pertengahan bulan lalu.
Osman berharap projek pemulihan hakisan pantai terbabit akan melindungi penduduk dan aset mereka serta infrastruktur awam setelah ia siap sepenuhnya kelak.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, JPS negeri juga mencadangkan projek pemecah ombak sama di kawasankawasan pesisir pantai lain di negeri ini yang turut terjejas dengan hakisan.
“Kita sedang meninjau 34 pantai di seluruh negeri ini yang turut menghadapi masalah hakisan kiritikal. “Kebiasaannya kerja-kerja membaik pulih hakisan dan pembinaan benteng pemecah ombak akan menelan belanja antara RM6 juta hingga RM8 juta bagi setiap meter,” katanya.

No comments:
Post a Comment