Translate

Thursday, February 26, 2026

‘20 peratus dividen masuk Akaun 3 pun sudah okey’

PETALING JAYA – Kerajaan diminta mempertimbangkan kelonggaran dengan menaikkan kadar agihan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke Akaun 3, sekurang-kurangnya 20 peratus berbanding 10 peratus ketika ini. 

Seorang pencarum, Che Ahmad Irfan Che Ruzaidi, 31, berkata, peningkatan kadar dividen itu mampu membantu menampung komitmen terutama pada musim perayaan. 

“Saya rasa 20 peratus pun sudah agak menarik untuk kegunaan kecemasan. “Macam saya, memang memerlukan wang itu untuk bayar hutang dan komitmen sedia ada. Lagi-lagi awal tahun banyak nak perbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan,” katanya. 

Bagaimanapun, Ahmad Irfan tetap bersyukur dengan kewujudan Akaun 3 yang memberi ruang kepada pencarum mengakses sebahagian simpanan ketika kecemasan. 

Di Shah Alam, Selangor, pekerja swasta, Shahrain Ajis, 37, juga berharap peratusan dividen ke Akaun 3 dinaikkan kepada 30 peratus.

 “Sebagai bapa kepada empat anak, persiapan raya keluarga saya biasanya memerlukan lebih RM1,000 setahun. 

“Jika dividen ini diberi, ia ibarat wang saku tambahan untuk membeli baju, kuih raya dan keperluan lain,” katanya. 

Menurutnya, peningkatan dividen juga dapat mengelakkan orang ramai daripada terpaksa meminjam wang, termasuk daripada along. 

Di Kuala Terengganu, Terengganu, seorang kerani, Mohd. Halim Abd. Saat, 46, berkata, peningkatan kadar agihan ke Akaun 3 jika dapat direalisasikan kerajaan boleh dianggap hadiah hari raya.

 “Saya berhasrat mengeluarkan sedikit simpanan Akaun 3 KWSP sebagai persiapan raya buat isteri dan anak-anak.

 “Sejujurnya kami masih belum membuat apa-apa persiapan raya kerana banyak sudah simpanan dihabiskan untuk perbelanjaan dua anak yang masuk sekolah berasrama penuh baru-baru ini,” katanya.

 Di Lipis, Pahang, pekerja kurier, Syahir Khalil, 42, menyifatkan kenaikan agihan dividen ke Akaun 3 sebagai satu inisiatif realistik dalam membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi semasa. 

“Dana dalam Akaun 3 boleh dimanfaatkan untuk perbelanjaan asas seperti kos persekolahan anak, pembaikan rumah serta keperluan harian jika berlaku kecemasan. 

“Sekurang-kurangnya kami ada simpanan yang boleh diakses tanpa perlu menjejaskan simpanan persaraan sepenuhnya,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment