Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA NERUS – Tindakan berani seorang lelaki dari Ipoh, Perak yang menunggang MV Agusta F3 RC800 tanpa lesen dan cukai jalan untuk menziarah saudara di Terengganu membawa padah apabila motosikal berkuasa tinggi itu disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kelmarin.
Motosikal berkuasa tinggi milik lelaki berusia 20 tahun tersebut disita dalam Operasi Khas Motosikal oleh JPJ di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini pada pukul 10 malam.
Pengarah JPJ Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, pemeriksaan mendapati cukai jalan motosikal MV Agusta F3 RC800 berkenaan tidak pernah diperbaharui sejak tahun 2020.
“Dia juga tidak memiliki lesen B penuh yang merupakan syarat untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi. “Penunggang mendakwa dia baru membeli motosikal berkenaan kira-kira seminggu lalu,” katanya pada sidnag akhbar selepas mengetuai operasi tersebut di sini semalam.
Mohd. Zamri berkata, penunggang motosikal berkuasa tinggi tersebut mendakwa baru tiba di rumah saudaranya di Kampung Padang Nenas, Kuala Nerus dari Ipoh untuk berbuka puasa bersama-sama.
Beliau berkata, motosikal MV Agusta F3 RC800 tersebut antara 25 motosikal yang disita atas pelbagai kesalahan dalam operasi berakhir pukul 1 pagi itu.
“Antara kesalahan utama dikesan dalam operasi tersebut adalah tiada lesen memandu, cukai jalan dan insurans tamat tempoh dan pengubahsuaian tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Pengubahsuaian tidak dibenarkan itu ialah penggunaan ekzos terlampau bising, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan tidak memiliki brek belakang dan cermin sisi,” katanya.
Mohd. Zamri berkata, sikap segelintir penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar, melanggar lampu isyarat merah dan menunggang laju juga dipandang berat.
Beliau berkata, JPJ Terengganu juga memantau sebarang aktiviti berlumba haram terutama selepas solat sunat tarawih.
“Ibu bapa juga diseru memantau anak masing-masing tidak menunggang motosikal tanpa lesen apatah lagi terlibat dalam lumba haram,” katanya.

No comments:
Post a Comment