Translate

Friday, February 20, 2026

Kutip derma di Terengganu perlu dapat QR Maidam

 KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memberi amaran keras terhadap mana-mana pihak yang melakukan pungutan khairat atau derma termasuk sepanjang bulan Ramadan di negeri ini tanpa kebenaran agensinya. 

Yang Dipertua Maidam, Datuk Zulkifli Ali berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif memperkenalkan kod respon pantas (QR) yang akan diberikan kepada pihak yang mendapat kebenaran mengutip derma di negeri ini. 

Beliau berkata, inisiatif tersebut bertujuan mencegah sebarang aktiviti penyelewengan dana awam di negeri tersebut.

 “Kod QR itu mengandungi butiran berhubung tujuan pungutan khairat (derma) yang mendapat kebenaran Maidam tersebut. 

“Orang ramai boleh mendapat kepastian kutipan derma yang dipohon pihak tertentu dengan mengimbas kod QR berkenaan,” katanya di sini semalam. 

Terdahulu beliau ditemui selepas mengumumkan kadar zakat fitrah 2026 bagi Terengganu. Zulkifli berkata, Maidam akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang memungut khairat tanpa kebenaran mengikut Subseksyen 90(4) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001. 

Beliau berkata, kesalahan mengutip derma secara haram di negeri berkenaan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Tiada yang terkecuali daripada penguatkuasaan tersebut sama ada individu, kumpulan mahu pun mana-mana pertubuhan. 

“Ketegasan Maidam telah terbukti apabila sebanyak 23 kes pungutan derma tanpa kebenaran di Terengganu telah dibanteras sepanjang tahun lalu,” katanya. 

Zulkifli berkata, kesemua pihak terlibat yang didapati mengutip dana awam bernilai keseluruhan mencecah puluhan ribu ringgit telah didakwa di Mahkamah Syariah Terengganu. 

Beliau berkata, Maidam dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) akan memperkasa penguatkuasaan terhadap kutipan derma secara haram ini terutama pada bulan Ramadan tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment