Translate

Friday, February 27, 2026

Naik harga hingga RM2

 Oleh MOHD. YUNUS YAKKUB, MOHD. AZLI ADLAN dan MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

 PETALING JAYA – Beberapa peniaga bazar Ramadan dikesan menaikkan harga jualan sehingga RM2, sekali gus mencetuskan rungutan dalam kalangan pengunjung. 

Selain itu, terdapat peniaga yang mengecilkan saiz makanan demi mengekalkan harga sehingga menyebabkan pelanggan pula berasa kurang berbaloi. 

Di Shah Alam, Selangor, kenaikan harga sekitar RM1 bagi kebanyakan juadah di bazar Ramadan mula dirasai pengunjung. Iman Nizam, 20, berkata, biarpun kenaikan itu kecil, kesannya tetap dirasai terutama golongan muda serta pelajar universiti. 

“Saya kini lebih selektif ketika membeli dengan hanya memilih juadah tertentu, manakala selebihnya dimasak sendiri di rumah bagi memastikan perbelanjaan sepanjang Ramadan terkawal. 

“Memang bazar Ramadan ini setahun sekali tapi saya tetap berbelanja secara sederhana. Saya akan bandingkan harga di beberapa gerai sebelum membeli,” katanya kepada Kosmo!. 

Seorang lagi pengunjung, Muhammad Izzulhilmi Mohd. Yunus, 32, berpandangan, kenaikan harga secara keseluruhan masih pada tahap munasabah dan boleh difahami berikutan peningkatan kos bahan mentah. 

“Setakat ini ada naik sedikit. Kita faham harga barang dan sewa tapak meningkat. Ia masih boleh diterima, cuma harap tiada pihak yang mengambil kesempatan berlebihan,” ujarnya. 

Di Kuala Terengganu, Terengganu, kenaikan harga makanan turut berlaku di beberapa bazar Ramadan. Seorang pembeli, Noradah Razli, 32, mengakui terkejut apabila mendapati seketul paha ayam goreng dijual pada harga RM5 di sebuah bazar di bandar raya ini. 

“Sebelum Ramadan, harga paha ayam goreng cuma RM3 di pasar malam tetapi apabila masuk bazar Ramadan, terus jadi RM5, sedangkan saiz ayam sama dan peniaga pun orang yang sama,” katanya.

 Juliana Abd. Rahman, 35, turut terkejut apabila harga nuget dan sosej goreng meningkat kepada RM3 secucuk. 

“Selalunya hanya RM2 secucuk, malah tiada tanda harga dipamerkan. Disebabkan anak mahu, saya beli juga,” katanya. 

Di Kampar, Perak, harga makanan dan minuman di Bazar Ramadan Dataran Bandar Baru secara puratanya kekal seperti tahun lalu, namun saiz makanan lebih kecil. 

Seorang kakitangan awam, Amar Abdul Rahman, 26, berkata, harga juadah di bazar tidak banyak berubah, namun orang ramai dapat melihat perbezaan dari segi kuantiti. 

“Saya beli martabak ayam dan daging pada harga RM10 untuk dua keping. Harganya masih sama, cuma saiznya lebih kecil. 

“Peniaga memaklumkan harga telur dan bawang meningkat susulan permintaan tinggi sempena Tahun Baharu Cina dan Ramadan yang berlangsung serentak, menyebabkan mereka terpaksa mengecilkan saiz bagi menampung kos,” katanya. 

Bagi Muhammad Ilham Abdul Rahim, 24, minuman dijual pada harga RM4 hingga RM5 sebungkus, namun saiznya lebih kecil berbanding sebelum ini. 

“Kalau tuang di dalam gelas, tidak penuh seperti selalu dan ais pula lebih banyak daripada air. Mungkin disebabkan harga gula yang agak mahal sekarang. 

“Namun saya tetap beli kerana setiap kali Ramadan, minuman memang jadi pilihan selepas seharian berpuasa,” katanya. 

Kosmo! Ahad semalam melaporkan, pengunjung bazar Ramadan kecewa terhadap kualiti makanan yang dijual kerana ada juadah yang dibeli telah basi, berulat dan tidak menepati cita rasa.

No comments:

Post a Comment