HULU TERENGGANU – Seorang ibu tunggal tidak menang tangan menyiapkan lebih 4,000 tempahan kuih bakul yang semakin meningkat menjelang Tahun Baharu Cina esok.
Rosidah Muda, 52, yang merupakan pembantu tadbir sebuah sekolah rendah di sini berkata, dia mula belajar resipi membuat kuih bakul daripada arwah ibunya, Mariam Osman kira-kira 11 tahun lalu.
“Mulanya, saya sekadar bantu arwah ibu yang merupakan seorang pembuat kuih. Saya teruskan tradisi ambil tempahan kuih bakul setelah ibu meninggal dunia kira-kira dua tahun lalu.
“Kemahiran membuat kuih ini turut mendapat kepercayaan komuniti Cina yang menetap di sekitar daerah ini dan Kuala Terengganu,” katanya ketika ditemui di Kampung Pelam, di sini semalam.
Katanya, dia dibantu anak perempuannya, Nur Qayyimah Haziqah Halim, 26, menyiapkan tempahan yang sudah diterima sejak awal bulan lalu.
“Secara asasnya cara buat kuih ini hampir sama dengan dodol cuma air lemon digunakan bagi membancuh adunan kuih tradisional Cina ini.
“Jika dodol dimasak di dalam kuali, kuih bakul pula perlu dikukus antara tempoh enam hingga lapan jam,” katanya. Ujarnya, setiap hari dia menghabiskan masa kira-kira 12 jam selepas waktu bekerja untuk menyiapkan tempahan.
Katanya, kuih bakulnya tetap menjadi biarpun tidak mengamalkan sebarang pantang larang tertentu yang menjadi mitos pembuatannya selama ini.
“Selain perisa asli, saya juga pelbagaikan perisa kuih bakul buatan saya seperti durian, coklat dan pisang bagi menarik pelanggan terutamanya generasi muda.
“Alhamdulillah, rezeki tempahan sempena Tahun Baharu Cina ini mendatangkan pendapatan sampingan kirakira RM15,000,” tambahnya.

No comments:
Post a Comment