Translate

Friday, January 26, 2018

UniKL ikat THT di Kuala Terengganu dalam saingan MHL

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PASUKAN Hoki Terengganu (THT) terpaksa berpuas hati meraih satu mata apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada aksi keenam Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.

Keputusan tersebut menyebabkan kedudukan juara bertahan keseluruhan itu yang setakat ini memperoleh 12 mata menerusi tiga kemenangan dan tiga seri, sedikit goyang di persada liga.

Pada aksi kelima sebelum ini, kedua-dua pasukan turut berkongsi satu mata selepas mencatat keputusan seri 2-2.

Penyerang sensasi kebangsaan, Faizal Saari meledak gol awal buat THT menerusi jari­ngan padang pada minit ke-34.

UniKL yang tidak puas asa akhirnya memperoleh gol penya­maan menerusi jaringan padang Izwan Firdaus Ahmaf Tajuddin pada minit ke-51.

Terdahulu, tuan rumah yang melancarkan serangan bertali arus sejak suku pertama lagi buntu untuk menembusi pintu gol UniKL yang dikawal ketat penjaga gol lawan, David John Harte.

Dua pukulan sudut penalti padu yang diambil pakar flick Argentina, Gonzalo Peillat pada minit ke-29 dan ke-33 berjaya ditepis keluar Harte yang juga penjaga gol terbaik dunia.

Sementara itu, ketua jurulatih THT, Sarjit Singh berkata, pa­sukannya bernasib baik mencatat keputusan seri biarpun anak-anak buahnya didapati bermain di bawah prestasi sebenar pada aksi tersebut.

“UniKL sememangnya pasukan yang perlu diberi perhatian. Bagi saya, kedua-dua penjaga gol kita (Muhammad Hafizuddin Othman) dan lawan (Harte) telah beraksi cemerlang.

“Kita tidak boleh keciciran mata lagi dalam baki empat perlawanan selepas ini untuk mencerahkan peluang kembali merampas kejuaraan liga pada musim ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment