Translate

Tuesday, January 30, 2018

Transformasi TFC sebagai kelab profesional

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU Football Club (TFC) yang dinaungi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyasar untuk menjadi kelab bola sepak profesional sepenuhnya dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Presiden PBSNT, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, syarikat TFC Sdn. Bhd. telah ditubuhkan untuk menguruskan sepenuhnya TFC yang mengan­dungi lima kelab termasuk TFC1 dan TFC2 yang dahulunya masing-masing dikenali Terengganu FA dan T-Team.

“TFC Sdn. Bhd. bertanggungjawab menguruskan lima pasukan TFC tersebut dari segi pembentukan pasukan, pengurusan stadium dan penajaan tanpa pergantungan kewangan sepenuhnya daripada kerajaan negeri (Terengganu) mulai musim ini.

“Ia merupakan permulaan daripada usaha kita untuk menjadikan TFC sebagai kelab bola sepak profesional sepenuhnya yang berdikari seperti di Eropah suatu hari nanti,” katanya ketika merasmikan majlis perkenalan pemain kelima-lima pasukan dan pelancaran jersi baharu TFC di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu kelmarin.

Pada majlis sama, PBSNT turut memperkenalkan logo baharu TFC seiring dengan revolusi bola sepak negeri yang telah diper­kenalkan pada musim ini.

Ahmad Razif berkata, TFC mengamalkan sistem pasukan pelapis (feeder club) terdiri daripada lima kelab iaitu TFC1 yang merupakan pasukan induk dan empat pasukan pelapis iaitu TFC2 ber­aksi di Liga Premier, TFC3 (Pia­la Presiden), TFC4 (Piala Tunku Ismail) dan TFC5 (Piala Kementerian Pendidikan).

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu menjelaskan sistem pasukan pelapis yang mula dilaksanakan PBNST ini merupakan pendekatan serampang dua mata bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri di samping melahirkan bakat-bakat baharu secara berterusan.

“Kita mengharapkan TFC1 dan TFC2 yang masing-masing beraksi di Liga Super dan Liga Premier menyumbang piala pada setiap musim. Pada masa sama, pemba­ngunan bakat baharu dalam kalangan anak tempatan diteruskan sebagai persediaan untuk diserapkan ke peringkat lebih tinggi demi kelangsungan pasukan induk.

“Sistem pasukan pelapis juga membolehkan sembilan pemain import kita bertukar-tukar kelab antara TFC1 dan TFC2 mengikut taktikal permainan dan prestasi semasa sepanjang musim ini tanpa menunggu tempoh jendela perpindahan pemain,” katanya.

No comments:

Post a Comment