Translate

Sunday, January 14, 2018

KLHC belum puas biarpun julang Piala Sumbangsih

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

KEJAYAAN Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali kelima berturut-turut dan kejayaan merangkul Piala Tan Sri P. Alagendra masih tidak cukup buat pengendalinya, Lim Chiow Chuan.

Beliau secara berterus-terang tidak berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya yang sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan Pasukan Hoki Terengganu (THT) pada masa sebenar perlawanan sebelum menang 5-4 menerusi pukulan penalti di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu kelmarin.

“Kita sekadar mampu memungut satu mata pada aksi sulung Liga Hoki Malaysia (MHL) dan bernasib baik mempertahankan Piala Sumbangsih menerusi pukulan penalti.

“Saya tidak rasa para pemain telah beraksi dengan baik hari ini (kelmarin) seperti yang dipamerkan pada final Piala Tan Sri P. Alagendra baru-baru ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Chiow Chuan memberitahu, pemain-pemainnya berpaksa bertungkus-lumus sepanjang aksi menentang THT dengan membiarkan tuan rumah menguasai sebahagian besar tempo permainan.

Sehubungan itu, beliau berharap anak-anak buahnya dapat me­ngurangkan kesilapan bagi menghadapi aksi seterusnya dalam saingan MHL menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada hari ini.

“Saya mahu mereka memantapkan permainan bermula dengan aksi menentang TNB Ahad ini (hari ini) untuk tidak keciciran mata bagi memburu baki dua kejuaraan iaitu liga dan juara keseluruhan musim ini,” katanya.

Pada aksi kelmarin, KLHC berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih selepas menumbangkan musuh tradisi THT 5-4 menerusi pukulan penalti.

Terdahulu, pasukan elit itu gagal mempertahankan kelebihan dua gol yang diperoleh menerusi jari­ngan pakar flick Korea, Jang Jong­hyun dan Mohd. Hafizuddin Zaidi selepas tuan rumah berjaya me­nyamakan kedudukan menerusi penyerang kebangsaan, Faizal Saari dan pakar flick Argentina, Gonzalo Peillat pada suku terakhir perlawanan.

No comments:

Post a Comment