Oleh MOHD. AZLI ADLAN
DUNGUN – Lapan anak kapal warga Indonesia tersadai di Pulau Tenggol dekat sini selepas bot kargo membawa muatan kelapa yang dinaiki mereka hampir karam kelmarin.
Dalam kejadian pukul 2 pagi itu, kesemua mangsa yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 56 tahun itu bernasib baik kerana sempat keluar dari bot kargo mereka dan berenang ke Pulau Tenggol dekat sini untuk menyelamatkan diri.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Rahim Ramli berkata, sewaktu kejadian, bot kargo, Rezeki Mulia 1 yang sarat dengan muatan kelapa itu dalam perjalanan ke Narathiwat, Thailand dari Tambilahan, Riau, Indonesia.
“Mereka berlepas dari pelabuhan Riau pada 30 Disember lalu dan sepatutnya dijadualkan tiba di Narathiwat semalam (kelmarin).
“Begitupun, sistem pam air kapal kargo itu mengalami kerosakan yang menyebabkannya hampir karam sewaktu berada pada kedudukan kira-kira 13 batu nautika dari Pulau Tenggol dekat sini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Rahim berkata, kesemua mangsa warga Indonesia itu telah diberi perlindungan sementara oleh salah seorang pengusaha resort di pulau peranginan terbabit.
Menurut beliau, sepasukan anggota Maritim Malaysia (APMM) bergegas ke pulau tersebut sebaik dimaklumkan berhubung kejadian itu.
“Bot APMM telah membawa kesemua mangsa terbabit ke daratan sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen negeri untuk tindakan lanjut,” katanya.
No comments:
Post a Comment