Translate

Tuesday, January 9, 2018

Pulau Pinang dilanda banjir lagi

Oleh MULLER ASEN, MOHD. AZLI ADLAN, SHAHRULANOOR ISHAK dan NOOR HASLIZA NUSI

GEORGE TOWN – Hampir 50 lokasi di lima daerah negeri ini sekali lagi dilanda banjir kilat berikutan hujan yang berterusan hampir 15 jam sejak awal pagi semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku pukul 6 pagi selepas hujan lebat bermula pukul 1 pagi melibatkan daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Sebanyak 24 mangsa daripada 13 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan kawasan masing-masing.

Bagaimanapun, bencana kali ini tidak seteruk banjir yang melanda Pulau Pinang pada 4 November tahun lalu sehingga mengakibatkan lebih 1.7 juta penduduk Pulau Mutiara itu terjejas.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor memberitahu, sebanyak 10 lokasi di daerah itu turut terjejas antaranya di kawasan perumahan Flat Rumah Hijau, Kampung Malaysia, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Mandin dan Klinik Kesihatan Mak Mandin.

Sehingga pukul 3.30 petang semalam, banjir di semua daerah yang terlibat sudah surut sepenuhnya.

Di Kuantan, bilangan penduduk negeri Pahang yang terjejas banjir berkurangan kepada 8,005 setakat petang semalam berbanding 8,662 mangsa petang kelmarin.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Zainal Yusoff berkata, bagaimanapun, sebuah pusat pemindahan di Maran terpaksa dibuka semula disebabkan paras air kembali meningkat.

“Paras air Sungai Jempol di Maran meningkat sehingga melepasi paras bahaya. Akibat pe­ningkatan itu, seramai 51 mangsa daripada 13 keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Baru Pertanian.

“Tujuh daerah yang masih dilanda banjir ialah Kuantan, Pekan, Rompin, Jerantut, Lipis, Bera dan Maran,” ujarnya.

Di Kemaman, mangsa banjir Terengganu meningkat kepada 2,512 orang daripada 625 keluarga semalam melibatkan daerah ini dan Dungun.

Pengarah APM Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, sebanyak 14 pusat pemindahan dibuka di Kemaman manakala Dungun kekal dua buah.

“Walaupun cuaca baik di kedua-dua daerah itu hari ini (semalam) namun paras banjir tidak surut berikutan fenomena banjir termenung. Ia diburukkan lagi oleh fenomena air pasang besar yang dijangka berterusan malam ini (semalam),” katanya.

Di Johor Bahru, keadaan banjir di Johor semakin pulih apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan tinggal 34 orang semalam.

Mangsa terlibat merupakan penduduk daripada Kampung Mendusut Lama, Segamat yang masih berada di pusat pemindahan di balai raya kampung berkenaan.

Di Sarawak, hujan lebat yang berterusan sejak kelmarin mengakibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lenei di Baram dan SK Uma Sambop di Belaga terpaksa ditutup melibatkan seramai 202 murid, 26 guru dan 17 staf sokongan sekolah.

No comments:

Post a Comment