Translate

Saturday, January 27, 2018

Gigit tangan koperal, empat wanita ditahan

BESUT –  Polis menahan empat beranak kerana bertindak ganas dengan menghalang tugas polis yang cuba menahan seorang ahli keluarga mereka di stesen minyak Kampung Raja di sini kelmarin.

Kesemua suspek wanita itu ditahan kira-kira pukul 5 petang termasuk seorang berusia 22 tahun yang bertindak menggigit tangan seorang anggota polis berpangkat koperal sehingga cedera.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, perbuatan ganas empat wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 53 tahun itu bagaimanapun dapat dikawal sebelum mereka ditahan bersama seorang suspek lelaki.

“Sepasukan polis menyerbu stesen minyak tersebut untuk menahan lelaki berkenaan yang disyaki pengedar dadah selepas mendapat maklumat daripada salah seorang rakannya yang turut ditahan beberapa jam sebelum ini.

“Ibu dan tiga saudara perempuannya yang turut berada di lokasi kejadian bagaimanapun cuba menghalang tugas polis sehingga berlaku sedikit kekecohan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, sebelum itu, polis telah menahan seorang lelaki berusia 24 tahun dipercayai pengedar dadah selepas menyerbu sebuah rumah di Felda Selasih di sini pada pukul 1 tengah hari kelmarin.

Menurut beliau, pemeriksaan menemui 270 pil dipercayai pil kuda, tujuh botol mengandungi serbuk dipercayai dadah jenis heroin dan 50 mililiter cecair yang dijuga syaki dadah selain sebuah beg mengandungi kad pengenalan dan lesen memandu milik suspek.

No comments:

Post a Comment